Monday 14 June 2010

Isu


Prestasi IPTA perlu dinilai dari masa kesemasa untuk memastikan pertanggungjawapan, produktiviti dan kualiti. Untuk tujuan ini, KPI telah dibina sebagai pengukur/petunjuk kepada fungsi asas seperti pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional. Petunjuk adalah “nilai numerik yang digunakan untuk mengukur sesuatu yang sukar dikira”(1). KPI yang dibina adalah petunjuk prestasi (performance indicator), iaitu merupakan titik rujukan dan kayu ukur perbandingan. Maka ia adalah angka relatif dan bukan mutlak dan melibatkan “value judgment”.

Penggunan KPI ke atas universiti menerima kritikan dari segi ketepatan ukuran, terutama dari segi apa yang diukur berbanding apa yang sebenar yang patut diukur dan juga “subkjetiviti” yang terlibat dalam ukuran tersebut. Ini menjadikan penggunaan satu sistem penilaian untuk semua disiplin adalah tidak setara. Maka, sistem itu perlu fleksibel mengambil kira ciri dan situasi sesuatu fakulti atau disiplin (2).

Untuk penerbitan, kaedah bibliometrik yang berlandaskan data bibliografik telah digunakan seperti bilangan artikel dan bilangan “citation” untuk mengira faktor impak. Mengikut beberapa penulis, tidak semua petunjuk bibliometrik boleh digunakan untuk keseluruhan. Ini kerana petunjuk bibliometrik adalah “arbitrary”, tiada kaitan dengan teori sesuatu penulisan dan kadangkala sangat spesifik (3). Kedua, pangkalan data penerbitan tidak merangkumi semua jurnal, dan tidak termasuk buku, kertas polisi, laporan dll. Ketiga, “citation” ini hanya merujuk kepada jangka waktu 5 tahun sahaja. Kelemahan ini menjadikan penggunaaan bibliometrik untuk sains sosial memerlukan pengubahsuaian mengikut tuntutan sesuatu disiplin (4).
    
Pelaksanaan KPI untuk penerbitan sains sosial memerlukan penambahbaikan kerana faktor berikut:

  • “Stakeholder” sains sosial adalah penggubal polisi dan masyarakat umum, maka wahana (atau medium) komunikasi dan impak penyelidikan adalah berbeza.
  • Disiplin sains sosial lebih berfokus kepada isu tempatan dan rantauan.
  • Penerbitan lebih kepada buku dan kurang dalam penerbitan bersiri. 
  • Kadar pembangunan teori yang berbeza. 
  • Kelemahan petunjuk bibliometrik ke atas penerbitan sains sosial. 


Sepertimana disiplin sains, sains sosial di dunia turut dipengaruhi oleh tuntutan KPI (terutama pengukur bibliometrik) untuk meningkatkan daya saing institusi masing-masing. Iaitu, sejak kebelakangan ini, lebih banyak penerbitan sains sosial diterbitkan dalam “Citation Index Journal” (CIJ) di tahap global. Ini menimbulkan “paradoks ilmu” (atau “knowledge paradox”) dimana penekanan kecemerlangan dalam ilmu telah meningkatkan penerbitan dalam ilmu asas yang tidak menjawap persoalan dan keperluan masyarakat setempat.

Perbincangan di atas merumuskan dua perkara. Pertama, disiplin sains dan sains sosial adalah berbeza. Kedua, penggunaan satu petunjuk ke atas semua disiplin adalah tidak saksama kerana budaya penerbitan, ”citation” dan kaedah komunikasi yang berlainan.


(1) Definisi yang digunakan oleh OECD (Cuenin, S. (1986). International Study of the Development of Performance Indicators in Higher Education, paper presented at OECD, IMHE Project, Special Topic Workshop.
(2) William (1996) Developing an Effective Faculty Evaluation System. Center for Faculty Evaluation & Endowmnet. Idea Paper No. 33. eric.ed.gov/ERICWebPortal/recordDetail?accno=ED395536 [Diakses 10 Disember 2008]
(3) Sen K.S. (1999). What Purpose are the Bibliometric Indicators and How Should They Work
(4) Nederhof, Anton J. (2006). Bibliometric monitoring of research performance in the Social Sciences and the Humanities: A Review. Scientometrics 66(1): 81-100.

1 comment:

  1. University Ranking: A Misguided Pursuit?

    Pl visit http://www.fatimahmohamedarshad.blogspot.com/

    (Tried to post my comments here but did not work out).

    ReplyDelete